[VIDEO] Kes mahkamah tidak ganggu persiapan Akmal hadapi PRN

BUKIT MERTAJAM – Persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak terjejas bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh walaupun berdepan kes mahkamah yang masih belum selesai selepas menunggu selama setahun.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, tempoh setahun berdepan situasi itu menjadikan dirinya lebih bersedia daripada segi mental untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sama ada dapat meneruskan hasrat mempertahankan kerusi yang disandang pada PRN akan datang.

Menurutnya, walaupun faktor berkaitan kes berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan, ia tidak mengganggu persiapan secara keseluruhan untuk menghadapi pilihan raya.

“Kes ini sudah setahun, jadi setahun saya tunggu, tetapi masih belum nampak sinar di hujung terowong.

“Bagi saya, ia tidak mengganggu lagi kerana kita sudah bersedia daripada segi mental selama setahun. Sama ada saya boleh teruskan atau tidak, kita masih dalam keadaan ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam pada Isnin.

Muhamad Akmal hadir ke mahkamah berkenaan bagi mendengar keputusan permohonan representasi untuk menggugurkan kes berhubung bendera terbalik yang didakwa ke atasnya pada Ogos tahun lalu.

**media[3689588]**

Ogos tahun lalu, Muhamad Akmal, 38 mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan kegusaran awam di mahkamah sama.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Akmal didakwa telah membuat kenyataan di laman Facebook Akmal Saleh di pautan URL, https://www.facebook.com/m.akmalsaleh/videos/1091167866480546

Perbuatan itu didakwa menimbulkan kegentaran awam yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan melalui semua proses perundangan dengan baik serta penuh disiplin.

"Saya berharap kes berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat, kemungkinan pada Januari atau Februari tahun depan, sekiranya tiada halangan," ujarnya.

Mengulas peluang untuk bertanding pada PRN akan datang, beliau berkata, parti sudah memberikan kepercayaan kepadanya untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu belum muktamad selagi proses penamaan calon belum berlangsung kerana sebarang perubahan masih boleh berlaku.

“Alhamdulillah, parti sudah memberikan kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan DUN N27. Tetapi selagi belum penamaan calon, apa-apa pun boleh berlaku.

“Bagi saya, jika ada orang yang lebih baik dan boleh memenangkan parti, saya rela untuk tidak bertanding. Saya sudah ulang perkara ini banyak kali,” katanya.

Beliau turut menegaskan kesediaannya untuk berundur sekiranya kewujudannya sebagai calon dianggap boleh menjejaskan peluang parti untuk memenangi pilihan raya.

Menurutnya, beliau sudah menyampaikan pendirian itu secara terbuka kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi termasuk kesediaan untuk tidak bertanding sekiranya kes mahkamah yang dihadapinya menjadi beban kepada parti.

“Jika dirasakan saya menjadi bebanan kepada parti untuk menang pada pilihan raya akan datang, saya tidak ada masalah untuk tidak bertanding.

“Pilihan raya ini bukan soal Akmal Salleh. Pilihan raya ini soal bagaimana kita hendak menang dan bagaimana kita hendak berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengekalkan Muhamad Akmal di DUN Merlimau bagi menghadapi PRN Melaka, 14 November ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN Negeri Melaka sempena PRN ke-16 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).